Nation
821
0

PHEB cadang ambil alih pengurusan kuil Nattukotai Chettiar

George Town – Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) bercadang mengambil alih pengurusan Kuil Nattukotai Chettiar di George Town kerana mengingkar arahan kerajaan negeri dengan mengadakan pergerakan pedati perak awal hari ini sempena sambutan Thaipusam.

Pengerusi PHEBP Ramasamy berkata pergerakan pedati tersebut mengabaikan keselamatan dan kesihatan semua penduduk Pulau Pinang memandangkan kadar kes Covid-19 yang membimbangkan di negeri itu.

“Seksyen 4 Ordinan Wakaf Hindu memberikan hak kepada lembaga itu membincangkan perkara tersebut. Ini adalah cara lembaga itu menangani kuil-kuil yang bermasalah di Pulau Pinang sebelum ini.

“Terdapat keperluan lembaga untuk campur tangan jika ada aduan awam atau salah urus. Bagaimanapun, lembaga mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan anggota exco kerajaan negeri dan Yang di-Pertua Negeri,” katanya pada sidang media di George Town.

Ramasamy, yang juga Timbalan Ketua Menteri II, berkata kerajaan telah mengulangi pendirian mereka untuk tidak membenarkan perarakan pedati semasa Thaipusam tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan menulis surat persetujuan untuk kedua-dua kuil di Pulau Pinang mengadakan pergerakan pedati semasa Thaipusam tanpa menyatakan bahawa ada persetujuan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sehingga kini, kerajaan negeri dan MKN tidak memberi kelulusan untuk perarakan pedati di Pulau Pinang. Jika mereka (Kuil Nattukotai Chettiar) telah melanggar arahan kerajaan negeri atau MKN, pihak berkuasa perlu bertindak tegas,” katanya.

Sementara itu, pemegang amanah Kuil Nattukotai Chettiar Dr A Narayanan berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada MKN untuk membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dengan diiringi oleh 10 pegawai kuil.

Pedati itu bergerak dari Kuil Veedu di Lebuh Penang di sini pada jam 3.30 pagi dengan ditarik dua ekor lembu dan tiba di Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun pada kira-kira jam 6 pagi.

Pedati itu akan kembali ke Lebuh Penang, Jumaat ini. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu