Nation
92
0

PKPB: Bicara kes rasuah Rosmah Mansor ditangguh

Kuala Lumpur –  Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan ke 11 Disember depan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, mahkamah menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu dari 9 November sehingga 6 Disember depan.

“Kami terima pemakluman (berkenaan tarikh sambung bicara baharu) melalui emel daripada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi pada 12 November lalu,” katanya menerusi WhatsApp.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung selama empat hari sepanjang minggu ini, dengan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga saksi pendakwaan kelima dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Mahkamah pada tarikh sama, juga akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bahan bukti di mahkamah.

Seramai 23 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan pada perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah, 69, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk Jagjit Singh, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu