Nation
107
0

PM berharap semua sokong Belanjawan 2021

Putrajaya –  Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini demi kepentingan rakyat dan kebaikan negara.

Perdana Menteri optimis semua ahli politik komited dan akan bekerjasama untuk kebaikan negara.

“Pada sesi Parlimen lepas, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen yang menentang Akta Kumpulan Wang COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas dengan Bernama dan stesen-stesen televisyen tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov.

“Melihat kepada kepentingan Belanjawan 2021 dalam meneruskan usaha menangani wabak COVID-19, melindungi kelangsungan hidup golongan mudah terjejas dan memacu ekonomi, saya berharap semua Ahli Parlimen daripada semua latar belakang politik akan menyokong Belanjawan 2021,” katanya.

Muhyiddin berkata semua pihak perlu menumpukan usaha bagi membantu rakyat yang terkesan teruk susulan COVID-19 ketika negara berhadapan dengan situasi sukar dan menyulitkan.

“Isu di hadapan kita bukan isu kerajaan semata-mata tapi isu negara.

“Kalau kita sayangkan negara kita… kita nak selamatkan negara kita dengan apa cara pun,” kata beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sememangnya mempunyai tanggungjawab dan bebanan utama dalam perkara itu.

“Boleh ringankan bebanan itu jika semua pihak ketepikan fahaman politik dan membantu kerajaan.

“Jemaah menteri boleh laksanakan dan pegawai kerajaan yang diamanahkan pun boleh melaksanakannya, namun kalau pihak lain dapat membantu lagi dalam apa jua sekalipun, ia merupakan satu pengorbanan yang amat kita hargai,” kata beliau.

Muhyiddin percaya belanjawan itu akan mendapat sokongan semua peringkat lapisan Ahli Parlimen dan seterusnya di peringkat Dewan Negara.

“Saya harap ini dapat ditunaikan supaya bebanan kerajaan dan rakyat dapat dikurangkan,” kata beliau.

Perdana menteri berkata belanjawan tersebut merupakan belanjawan yang inklusif kerana pandangan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, ahli perniagaan dan rakyat diambil kira.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara input daripada pembangkang diambil kira dalam pengubalan belanjawan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu