Nation
473
0

Polis akan siasat Tommy Thomas

Kuala Lumpur – Polis Selangor membuka kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan memfitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya akan memanggil Tommy dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Laporan polis telah diterima di Cyberjaya, semalam, berhubung penerbitan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ daripada Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

“Pihak polis akan memanggilnya (Tommy) secepat mungkin bagi memastikan siasatan kes ini dapat dilakukan,” katanya kepada media hari ini.

Fadzil berkata, setakat ini hanya satu laporan polis diterima.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung fitnah,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Hanafiah dalam laporan polisnya mendakwa dalam buku itu, Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.

“Petikan ini (dalam buku) merujuk kepada penyediaan dan persiapan pasukan pendakwaan dalam kes pendakwa raya lawan Datuk Seri Najib Razak (kes SRC International) di mana ketika itu pada tahun 2018 saya ditugaskan sebagai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Mohamad Hanafiah berkata ia tidak benar sama sekali dan mempunyai maksud beliau tidak berkemampuan untuk mengetuai dan menyelia pasukan pendakwaan itu dan lebih selesa menjalankan tugas pentadbiran. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu