Nation
174
0

Polis buka kertas siasatan pesakit COVID-19 lari dari hospital

Georgetown – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai pesakit COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini sebelum ditemukan di kawasan kaki lima deretan kedai di Bayan Lepas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, pihaknya akan merekodkan keterangan lelaki tempatan berusia 23 tahun itu selepas dia selesai menerima rawatan dan pulih daripada penyakit tersebut.

“Setakat ini, polis buka kertas siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kami menjalankan siasatan kerana kesalahan melarikan diri ketika menjalani rawatan penyakit berjangkit dan polis akan lengkapkan kertas siasatan selepas lelaki itu selesai menjalani rawatan serta disahkan bebas daripada wabak tersebut, sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sebaik ditemui semalam, lelaki itu terus dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut oleh petugas kesihatan dan beliau turut menafikan pesakit tersebut mengalami masalah mental seperti yang tular dalam media sosial.

Sementara itu, Soffian berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki yang memiliki 254 gram (g) syabu bernilai RM25,400 dalam kereta, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sekatan jalan raya (SJR) di Batu Uban Sabtu lepas.

Beliau berkata, polis pada mulanya menahan kereta dinaiki lelaki itu bersama tiga lagi rakannya termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB dan ketika dokumentasi dijalankan di SJR tersebut, suspek yang berusia 26 tahun telah melarikan diri.

“Lelaki dikenali sebagai S.Nadarajan itu telah menyerahkan kad pengenalannya kepada polis di SJR itu untuk didokumentasi dan dia memaklumkan mahu menghubungi seseorang menerusi telefon bimbitnya, sebelum pergi ke bahagian belakang sedikit namun semasa anggota mahu membawa suspek bersama tiga rakannya Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk dikompaun, dia telah tiada.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dalam kenderaan mereka berikutan curiga dengan tindakan lelaki tersebut menghilangkan diri, sebelum menemui bungkusan syabu seberat 254g yang disembunyikan dalam sebuah kotak (di dalam kenderaan),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek bersama rakan-rakannya dari Perlis dan ke kawasan Seberang Perai, dekat sini untuk mengambil bekalan dadah sebelum masuk ke George Town kononnya untuk berjalan-jalan dan semasa ditahan di SJR, mereka dalam perjalanan mahu pulang semula ke Perlis.

Soffian berkata, dua lelaki berusia 23 tahun yang ditahan itu positif dadah dan ketiga-tiga individu itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri tersebut. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu