Nation
88
0

Polis sedia pasukan pengiring untuk pergerakan vaksin COVID-19

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin COVID-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata, bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terbabit dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain pembabitan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Beliau berkata, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM sudah mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik serta cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi semua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik serta balai polis bergerak.

Beliau berkata, PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini tugasan sangat penting kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat serta tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan,” katanya. – Bernama

 

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu