Social
232
0

Polis tahan tiga suspek ugut pegawai kastam guna peluru hidup

Kuching – Polis Sarawak menahan tiga lelaki untuk siasatan berhubung kes ugutan terhadap seorang pegawai kanan kastam yang menerima dua butir peluru hidup di sini semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang berumur antara 35 hingga 39 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat pegawai kastam berkenaan yang mendakwa menerima peluru hidup dalam satu bungkusan yang disertakan dengan nota berunsur ugutan, menyebut “got two bullets, one long one short, which one you want” di kediamannya di Jalan Matang di sini semalam.

“Motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan operasi khas yang dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan Kastam Kuching di satu daerah di Sarawak pada awal November dan operasi tersebut diketuai oleh pegawai kanan kastam berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya sehingga 1 Dis ini dan semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek terlibat dalam kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini masih mengesan seorang lagi suspek bernama Yong King Ling, beralamat di No.72, lorong 6, Taman Rejang Park, 96000 Sibu, Sarawak yang masih bebas dan merupakan perancang utama kes ugutan ini,” katanya.

Aidi memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu dikehendaki itu supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Ramli Husin di talian 013-8968963 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis terdekat.

“Dua kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” tambahnya. – Bernama

 

 

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu