Nation
129
0

Polis temui 40 tong berisi bahan buangan disyaki punca pencemaran Sungai Selangor

Rawang – Polis menemui 40 tong bahan buangan berjadual dalam sebuah premis di Jalan Velox 2 di sini yang dikaitkan dengan kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, dan masih dalam proses mengenal pasti jenis bahan buangan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata setiap tong dengan isi padu 1,000 liter setiap satu itu disimpan dalam premis yang disewa sejak dua minggu lepas oleh seorang wanita berusia 40 tahun dengan kadar sewa RM3,800 sebulan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ada bahan buangan berjadual dibuang melalui sistem kumbahan di dalam premis itu yang mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, terletak kira-kira 300 meter dari premis berkenaan.

“Sepasukan anggota dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan bau bahan kimia itu dan menemui premis ini yang dijadikan stor simpanan bahan buangan berjadual untuk dilupuskan.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan bersama kakitangan JAS, LUAS dan IWK di sini hari ini.

Arifai berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan bekalan air ke beberapa kawasan terutama di sekitar Lembah Klang terputus, dan menurutnya sehingga kini, lima kejadian pencemaran air dilaporkan berlaku di daerah itu dengan empat daripadanya telah dikenakan tindakan.

Pagi tadi, tiga lelaki dan seorang wanita ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, yang memaksa operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dihentikan, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang sejak petang semalam.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, mulai 6 petang semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata pencemaran itu dipercayai berpunca dari kawasan industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu