Nation
100
0

Polis terima 5,218 laporan kes Macau Scam tahun ini

Kuala Lumpur – Polis merekodkan sebanyak 5,218 kes sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga RM256 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,676 kes berjaya ditumpaskan oleh PDRM, dan 1,420 kes pula sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara.

“Mangsa yang paling ramai adalah wanita iaitu lebih 3,000 kes dan kebanyakan daripada mereka berumur lebih 51 tahun. Pada kebiasaannya mangsa yang tertipu berada dalam keadaan tertekan dan takut akan ditangkap dan dilokap, selain risau hartanya akan dirampas.

“Jangan jawab panggilan tidak dikenali, namun sekiranya sudah dijawab, apabila diminta memindahkan duit ke dalam akaun mana-mana jabatan kerajaan, tidak perlu berbuat demikian kerana kerajaan tidak pernah memberi arahan kepada orang awam memindahkan wang dari satu akaun ke akaun lain,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Terdahulu, Abdul Majid Mohd Ali dilantik menjadi Ketua Polis Melaka yang baru menggantikan Mat Kasim Karim yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Sementara itu, Abdul Majid berkata sejumlah 169 pegawai dan anggota polis di Melaka menjalani kuarantin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas sehingga semalam, susulan mempunyai kontak rapat dengan orang awam yang terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Katanya daripada jumlah itu, 164 orang didapati bebas daripada jangkitan tersebut, manakala lima orang lagi masih menunggu keputusan ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan selain terdapat juga sedang di bawah pengawasan di hospital dan di rumah.

Dalam pada itu Abdul Majid, 58, berkata dia akan menggunakan pengalaman kira-kira 38 tahun dalam pasukan PDRM sebelum ini untuk mencapai empat misi yang akan dilaksanakan di Melaka.

“Saya akan memfokuskan kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat, jati diri sumber manusia berasaskan integriti iaitu bersih, bukan kepada rasuah tetapi membuat kerja dengan betul dan mengembalikan keyakinan masyarakat kepada perkhidmatan pasukan polis.

“Pada peringkat awal ini, keutamaan saya kepada negeri Melaka adalah untuk (memerangi) Covid-19 kerana ia menjadi hasrat kerajaan dan negeri ini, selain itu saya akan memimpin petugas barisan hadapan (polis Melaka) untuk mengembalikan Melaka kepada Zon Hijau,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu