Nation
128
0

Premis hiburan ingkar PKPB wajar ditarik lesen – Ismail Sabri

Kuala Lumpur – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas termasuk menarik lesen premis hiburan seperti kelab malam dan pub yang didapati masih berdegil menjalankan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan untuk menangkap individu yang terlibat dan menutup premis hiburan sudah dikeluarkan, namun masih banyak premis hiburan yang terus menjalankan operasi ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Polis boleh membuat tangkapan tetapi (kuasa) menarik balik lesen ini adalah bidang kuasa PBT. Saya selalu cakap tutup dan tarik lesen kerana kelab malam ini adalah senarai (premis) terlarang…tutup sahaja premis ini dan PBT harus lebih tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di sini.

Semalam, seramai 39 individu ditahan kerana terbabit dalam aktiviti di kelab malam dan pub.

Mereka adalah antara 315 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan PBT yang mengeluarkan lesen hiburan sementara hingga membolehkan premis hiburan beroperasi, Ismail Sabri berkata beliau akan merujuk perkara itu dengan kementerian yang terbabit.

Sebelum ini, terdapat dakwaan PBT mengeluarkan lesen sementara kepada premis hiburan sejak Jun lepas walaupun kerajaan masih tidak membenarkan kelab malam atau pusat hiburan beroperasi berikutan pandemik COVID-19.

Perkara itu dikesan semasa operasi polis di beberapa premis hiburan yang meneruskan operasi menggunakan lesen sementara itu. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu