Social
258
0

Rakyat Malaysia antara 5 ditahan culik ahli perniagaan di Bangkok

Bangkok – Polis Thailand menahan lima suspek termasuk seorang rakyat Malaysia yang disyaki terlibat menculik seorang ahli perniagaan dari China di Bangkok.

Lelaki berusia 49 tahun itu, yang merupakan seorang pemandu pelancong, dan empat lelaki rakyat Thailand telah ditahan di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri, kira-kira 100 kilometer dari Bangkok pada Selasa.

Ketua Biro Polis Metropolitan Leftenan Jeneral Pakapong Pongpetra berkata ahli perniagaan berusia 43 tahun itu telah diculik di Sukhumvit Soi 39 di Bangkok pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata suspek rakyat Malaysia telah menghubungi rakan mangsa dan menuntut 3 juta yuan (RM1.86 juta) sebagai tebusan.

“Siasatan dijalankan selepas rakan mangsa memaklumkan insiden penculikan itu kepada Subbahagian Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan kesemua suspek di sebuah pusat peranginan dalam wilayah Suphan Buri pada Selasa.

“Polis berjaya membebaskan ahli perniagaan itu dan memberkas kelima-lima suspek,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pakapong berkata siasatan awal menunjukkan terdapat pertikaian perniagaan antara mangsa dan seorang daripada suspek yang mungkin membawa kepada penculikan itu.

Beliau berkata sekurang-kurangnya tujuh suspek terlibat dan dua daripada mereka yang dipercayai rakyat Myanmar masih bebas. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu