Nation
475
0

Sanjeevan berjaya tangguh hukuman penjara sehingga rayuan selesai

Temerloh – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani, bagaimanapun, memerintahkan Sanjeevan membayar jaminan sebanyak RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport, jika ada, kepada mahkamah sehingga kes tersebut selesai.

“Pemohon juga perlu melapor diri di Balai Polis Semenyih, Kajang, Selangor setiap minggu sehingga pendengaran kes di Mahkamah Rayuan selesai dan mendapatkan kebenaran Ketua Polis Daerah Kajang sebelum keluar daerah.

“Sekiranya pemohon melanggar mana-mana syarat ini, jaminan terhadapnya adalah terbatal,” katanya.

Sanjeevan yang memakai baju kemeja dilihat senyum ke arah ahli keluarganya yang berada di galeri awam mahkamah sebaik sahaja mendengar keputusan tersebut.

Peguam S.Preakas, yang mewakili Sanjeevan, pada prosiding Rabu lalu, telah memaklumkan mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Jan depan sebagai tarikh pendengaran rayuan anak guamnya.

Sanjeevan sebelum ini dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Majistret pada 14 Ogos 2018, kerana didakwa memeras ugut seorang pekerja kedai, tujuh tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan pada pukul 9.45 malam, 1 Julai 2013 di Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, Bera dekat sini.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret semasa itu menerima permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara dan memerintahkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadapnya dinaikkan kepada RM6,000.

Hukuman denda, bagaimanapun, telah dilangsaikan.

Pada 27 Nov lalu, Mahkamah Tinggi di sini semasa mendengar rayuan Sanjeevan terhadap sabitan dan hukuman itu mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret, namun menolak permohonannya untuk sekali lagi menangguhkan hukuman penjara kerana berhasrat membuat rayuan ke peringkat lebih tinggi.

Keputusan itu menyebabkan Sanjeevan dihantar ke Penjara Penor di Kuantan, kira-kira 130 kilometer dari sini, untuk menjalani hukuman pada hari yang sama. – Bernama

 

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu