Social
57
0

Seludup dadah, remaja 16 tahun antara ditahan

Tawau – Seorang remaja berusia 16 tahun antara lima yang diberkas polis di sini dalam satu operasi yang mematahkan cubaan menyeludup keluar 28.79 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.5 juta pada Khamis lepas (14 Januari).

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata kesemua suspek berusia 16 hingga 55 tahun terbabit, termasuk dua wanita, ditangkap pada kira-kira 8 malam di kawasan ladang kelapa sawit Batu 10, Jalan Apas.

“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Polis Tawau menyerbu dua kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan itu ditemukan beg warna hitam mengandungi 25 bungkusan dadah serta sebuah beg warna coklat berisi satu bungkusan dadah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati dadah berkenaan cuba diseludup ke negara jiran.

Menurut Peter, semakan polis juga mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod lampau serta negatif dadah.

Mereka kini direman tujuh hari sejak Jumaat bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Peter berkata penduduk di kawasan Merotai, Bombalai serta Kalabakan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada balai polis berhampiran kediaman sebelum memasuki bandar Tawau.

Perkara itu katanya sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara yang melarang pergerakan melebihi 10 kilometer radius dari kediaman.

“Kita faham ada daripada mereka ini misalnya mahu ke bank tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, arahan kepada balai polis terlibat sudah dikeluarkan untuk urusan tapisan penduduk yang mahu ke bandar Tawau. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu