Politics
163
0

Sokong jika benar-benar Belanjawan untuk kekang COVID-19 – Anwar

Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2021 hanya akan disokong jika ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19 dan mengekang wabak itu.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menumpukan usaha untuk menangani COVID-19 dengan meminggirkan peruntukan bagi projek-projek mega.

Beliau yang juga Presiden PKR turut mencadangkan agar peruntukan RM19 bilion untuk pembangunan dipindahkan kepada Kumpulan Wang COVID-19.

“Ini kita minta kerajaan teliti semula, belanjawan ini seperti yang dipersembahkan (kepada) Yang di-Pertuan Agong ialah Belanjawan COVID-19 tetapi Kumpulan Wang COVID-19 hanya 5.3 peratus daripada RM322.5 bilion itu.

“Kita akan hanya sokong jika benar ia (Belanjawan) COVID-19, maka saya usulkan supaya Menteri Kewangan teliti cadangan Ahli Parlimen yang lain supaya hal COVID-19 diberi perhatian. Kita hanya akan sokong Belanjawan COVID-19, tidak yang lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut menyentuh mengenai isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium yang termasuk dalam tuntutan Pakatan Harapan (PH) dan perlu diberi perhatian kerana ia adalah bantuan untuk rakyat meminimumkan impak akibat pandemik COVID-19.

“Seperti saya sebut soal KWSP dan moratorium, ini soal serius… kalau mahu kita pertimbang untuk luluskan belanjawan, hal-hal ini mesti diberikan perhatian utama, kalau tidak belanjawan tidak dapat diluluskan,” katanya.

Beliau mahu kerajaan menimbang semula jumlah RM500 pengeluaran KWSP yang disifatkan tidak munasabah untuk golongan B40 meneruskan hidup mereka.

“Saya cadangkan jumlah ini ditambah kerana jika ditambah ia hanya melibatkan RM4 bilion dan kita ada keupayaan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meminta kerajaan membatalkan cadangan untuk mengembalikan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan peruntukan RM85.5 juta untuk tujuan itu disalur kepada kegunaan barisan hadapan bukan anggota kesihatan.

“Saya simpati dengan Menteri Kewangan, dia bukan orang politik, tetapi dia tulis saja, sebagai sahabat kita simpati… batalkan jelah,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu