Social
138
0

Suami isteri lari dari ujian Covid-19 sudah ditahan

Kota Baharu – Pasangan suami isteri Orang Asli kaum Temiar yang menghilangkan diri ketika ujian saringan COVID-19 dilakukan ke atas mereka di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Jumaat lalu berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pada jam 5.30 petang semalam, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada individu dari Jabatan Orang Asli yang memaklumkan kedua-dua suspek berada di Laloh.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis telah mengesan dan menjumpai pasangan suami isteri berkenaan berada di sebuah pondok di sekitar Sungai Sam.

“Pasangan Orang Asli itu kemudiannya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

“Mereka dibawa ke hospital untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin sehingga keputusan diperolehi.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan berhubung penyakit berjangkit yang berbahaya kepada nyawa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menerima laporan daripada seorang jururawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Jumaat lalu kira-kira jam 9.30 malam selepas mendapati pasangan berkenaan tiada di hospital ketika ujian saringan hendak dilakukan ke atas mereka.

Pasangan suami isteri berkenaan sepatutnya menjalani ujian saringan COVID-19 slepas bayi perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif COVID-19.

Kakitangan bertugas di wad kecemasan menyedari ibu kepada bayi yang positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) menghilangkan diri dan disebabkan takut untuk menjalani ujian saringan itu. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu