Social
177
0

Tiada barangan milik Nur Surya ditemukan di sungai

Kuala Berang – Polis tidak menemukan sebarang barangan peribadi milik mangsa bunuh, Siti Nur Surya Ismail, 19, yang dikatakan dibuang di Sungai Telemong, kata Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.

Beliau berkata operasi mengesan barangan mangsa pembunuhan tragis itu, telah dilakukan pada Ahad lepas menggunakan Khidmat Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga dengan kekuatan seramai sembilan anggota.

“Beg yang mengandungi dokumen peribadi mangsa seperti kad pengenalan dipercayai dibuang oleh suspek berusia 19 tahun itu pada hari yang sama dia membuang pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa di lebuh raya Telemong.

“Sebelum ini pihak polis telah melakukan pencarian di sepanjang tepi sungai tersebut dan pada Ahad (8 Nov) lalu kami menggunakan khidmat unit selam untuk membantu mencari dalam sungai dan dasarnya. Bagaimanapun pencarian selama dua jam di sungai itu tidak menemukan sebarang penemuan barang kes,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Adli berkata suspek yang merupakan pelajar tingkatan enam itu turut dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu ke lokasi ketika pencarian dilakukan.

Beliau mengakui penyelam berhadapan kesukaran mencari barangan tersebut susulan keadaan air sungai yang deras disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan berkemungkinan barangan itu telah dihanyutkan ke tempat lain.

Sebelum ini, suspek yang merupakan rakan karib Siti Nur Surya disambung reman tujuh hari sehingga 16 Nov ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 1 Nov lepas, Siti Nur Surya, yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak tahap tiga, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Telemong.

Mayat mangsa ditemukan adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu