Nation
185
0

Tiada isu takut mati – Dr Noor Hisham

Putrajaya – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Mengulas dakwaan seorang Ahli Parlimen yang mempersoalkan beliau tidak turun padang ke Sabah, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membuat perancangan khusus untuk Sabah dan beliau sendiri pergi ke negeri itu pada akhir Ogos lalu untuk melihat pengurusan dan kesiapsiagaan KKM terutamanya bagi Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Saya juga telah arahkan timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk turun bersama minggu lepas. Tan Sri Jemilah Mahmood (Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam) juga turun dua minggu lepas untuk melihat pengurusan dan isu-isu di Sabah.

“Tidak timbul isu kita takut mati. Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian itu boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang ataupun tidak,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata apa yang penting ialah niat untuk melaksanakan tugas dan untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam negara.

“Kita boleh selisih pendapat, tetapi apa yang kita laksanakan ialah memutuskan jangkitan COVID-19 dalam negara supaya dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes COVID-19 dan juga kadar kematian,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh susulan kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Tiong ketika membahaskan rang undang-undang itu mempersoalkan Dr Noor Hisham yang tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung televisyen.

Mengenai kisah tular seorang jururawat yang berulang alik sejauh 225 kilometer (km) dari rumahnya di Melaka ke tempat kerjanya di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru setiap hari, Dr Noor Hisham berkata pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan pemindahan jururawat itu jika terdapat permohonan.

“Saya tidak pasti mengenai masalah yang dialaminya tetapi pasti kami lebih senang untuk mendengar dan mempertimbangkan untuk pertukarannya ke tempat baharu,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu