Nation
350
0

Tindakan pertikai kredibiliti Dr Noor Hisham tidak masuk akal – Dr Noor Azmi

Kuala Lumpur -Tindakan pihak tertentu mempertikaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dilaksanakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya, beliau terkejut apabila terdapat pihak tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik yang mempertikaikan kredibiliti dan pengorbanan Dr Noor Hisham dalam membanteras pandemik COVID-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus COVID-19 selama ini.

“Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak COVID-19 melanda sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua pihak di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham akan mengadakan mesyuarat, berbincang dan bertukar idea setiap hari bagi mencari penyelesaian membanteras penularan wabak itu

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mengeluarkan kenyataan ‘DG (Ketua Pengarah) takut mati’ selain mempersoal mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Kenyataan kontroversi bernada emosi itu menyebabkan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bangkit dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang untuk tidak membenarkan Tiong “menghentam” Ketua Pengarah Kesihatan dan mahu kenyataan itu ditarik balik. – Bernama

 

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu