Nation
219
0

Tinjauan: Muhyiddin jadi PM pilihan

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pemimpin pilihan sebagai Perdana Menteri dengan sokongan diperoleh bukan hanya dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera, tetapi juga kaum Cina dan India.

Hasil penyelidikan dijalankan badan pemikir bebas, Emir Research bagi suku ketiga tahun ini (3Q20) pada Ogos lalu, mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu memperoleh 65 peratus sokongan daripada 2,064 responden yang terbabit dalam tinjauan penyelidikan berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menduduki tempat kedua dengan sokongan 10 peratus, diikuti Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lapan peratus.

Ia disusuli Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (6 peratus) dan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (3 peratus).

Yang turut tersenarai dalam tinjauan itu adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memperoleh sokongan tiga peratus, Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (2 peratus) serta bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (1 peratus).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

Hasil tinjauan penyelidikan itu juga mendapati, corak sokongan tinggi terhadap Muhyiddin merentasi pelbagai kumpulan demografi apabila memperoleh sokongan lebih besar dari kalangan responden bandar, iaitu 68 peratus.

“Muhyiddin menjadi pilihan di seluruh negeri kecuali Pulau Pinang, yang diperoleh Dr Mahathir dengan sokongan terbesar. Dari segi gender, kumpulan responden wanita juga menunjukkan sokongan kuat kepada Muhyiddin dengan 73 peratus.

“Dari segi usia, beliau mendapat lebih banyak sokongan dari kalangan orang muda. Beliau juga mendapat sokongan lebih besar dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” menurut laporan tinjauan itu.

Laporan itu menunjukkan, Muhyiddin memperoleh sokongan yang cukup kuat dari kaum Cina dan India, masing-masing dengan 50 dan 49 peratus.

“Sokongan kedua tertinggi dalam kedua-dua kumpulan etnik ini pula diberikan kepada Anwar,” kata Emir Research yang turut memaklumkan golongan berpendidikan tinggi juga memberi sokongan positif kepada Muhyiddin. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu