Social
633
0

Tunku Yazzid’ didakwa peroleh RM2.45 juta ubah wang haram

Johor Bahru – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memperoleh wang hasil pengubahan wang haram berjumlah RM2.45 juta.

Tertuduh, Mohd Yazzid Ahmad, 40, menggunakan nama ‘Tunku Yazzid’ kononnya sepupu kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mohd Yazzid dituduh memperoleh wang tunai berjumlah RM2.45 juta daripada seorang lelaki di mana wang berkenaan adalah hasil aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank tempatan di Bandar Baru Permas Jaya di sini, pada 16 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Farid Ahmad Kamal dengan tertuduh diwakili, Shaik Saleem SM Daud.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya jumlah jaminan minimum dikenakan berikutan anak guamnya hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan pandemik COVID-19.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH Online

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu