Social
97
0

Ustaz Budak didakwa 8 lagi pertuduhan kelucahan melampau

Kota Bharu – Pengurus madrasah dikenali sebagai Ustaz Budak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak lelaki pada November 2017 hingga Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak lelaki yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa berkenaan.

Kejadian itu berlaku di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Paloh Rawa, Machang pada 11 malam sekitar November 2017 hingga September 2018.

Ketika kejadian, mangsa berusia 15 tahun 11 bulan hingga 16 tahun sembilan bulan.

Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun sembilan bulan yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa berkenaan.

Kedua-dua kejadian itu berlaku pada 29 Oktober 2020 jam 11 malam di sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Paloh Rawa, Machang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Terdahulu, Sharudddin memohon ditawarkan jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung enam adik beradik serta ibu yang orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM40,000 dengan tiga penjamin dan perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan dan menetapkan 17 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH Online

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu