Nation
125
0

Vaksin COVID-19 menurut perspektif Islam

Kuala Lumpur – Tatkala Malaysia menunggu ketibaan bekalan vaksin Covid-19 yang dijangka pada bulan hadapan, masih ada sesetengah pihak yang cuba mempertikaikan keabsahan dan kehalalan vaksin itu.

Malaysia akan menerima bekalan vaksin Covid-19 menerusi perjanjian dengan syarikat farmaseutikal dari United Kingdom, AstraZaneca dan syarikat Pfizer dari Amerika Syarikat.

Biarpun kita sudah hampir pasti akan mendapat bekalan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat ini menerusi perjanjian dua hala itu bagi membendung penularan pandemik, ‘suara-suara sumbang’ ini dilihat seolah-olah mempertikaikan tindakan kerajaan biarpun ia dilihat sebagai satu langkah terbaik di dalam situasi global yang penuh mencabar ini.

Antara alasan yang sering dilontar dan diulangpakai oleh golongan antivaksin ini terutamanya dalam laman media sosial ialah bahan yang digunakan ketika penghasilan vaksin diambil dari unsur haram untuk umat Islam seperti DNA babi, konspirasi jahat Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan dan mengawal populasi penduduk dunia, serta pelan billionair Bill Gates untuk menjayakan ‘Plandemik’.

Dakwaan-dakwaan berat dikeluarkan golongan ini pastinya sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran dalam hati orang ramai terutama umat Islam, sedangkan kita sedia maklum bahawa Islam melarang umatnya menggunakan benda yang haram.

Ternyata sebenarnya masih ramai orang awam khususnya orang Islam tidak tahu kewujudan kaedah Fiqh Islami yang khusus berkaitan isu penyucian bahan di dalam vaksin yang dikenali sebagai Istihalah dan Istihlak.

Apa itu Istihalah, Istihlak?

Pendakwah bebas Dr Abdul Rahman A. Shukor memberikan penerangan bahawa isu berkaitan penggunaan unsur haram di dalam vaksin telah lama dibincangkan sejak dahulu oleh para agamawan dan ulama, bahkan ia adalah ‘settled issue’, dengan begitu banyak fatwa tempatan dan antarabangsa yang telah dikeluarkan mengenai vaksin yang boleh dirujuk.

Beliau menjelaskan bahawa konsep Istihalah dan Istihlak turut boleh diaplikasikan di dalam fatwa semasa berkaitan isu kehalalan sesuatu vaksin.

“Istihalah ialah proses semulajadi yang memberikan kesan perubahan hukum (dari haram ke halal) kerana berubah zatnya iaitu bahan dari sumber yang haram yang telah berubah struktur kimia dan ciri fizikalnya kepada suatu unsur dan sifat yang lain, maka hukumnya adalah halal dan suci. Ini pandangan mazhab Hanafi dan dipersetujui oleh ulama tersohor Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan Sheikh Wahbah Al-Zuhaili.

“Konsep Istihlak pula ialah bahan haram yang sedikit bercampur dengan bahan yang suci berlipat kali ganda sehingga menghilangkan sifat dan ciri-ciri asal yang terkandung dalam bahan itu. Bahan berkenaan telah rosak sifat dan ciri asalnya, walaupun zatnya masih kekal seperti mencampurkan setitis arak ke dalam air. Istihlak mempunyai kesan hukum sama seperti Istihalah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau, yang juga Penasihat Shariah Institusi Perbankan Islam turut menjelas lanjut, kaedah asal mengikut hukum Islam ialah vaksin jika dihasilkan daripada benda suci dan tidak memudaratkan manusia maka tidak timbul isu syariah mengenainya, di samping ianya harus digunakan sebagai langkah pencegahan daripada penyakit yang berjangkit atau wabak yang boleh membawa kepada risiko kematian.

Menjaga nyawa lebih penting

Namun sekiranya vaksin itu mempunyai atau bercampur dengan unsur haram, Dr Abdul Rahman menjelaskan ia telah terbahagi kepada dua kategori hukum.

“Pertama, jika ada vaksin lain yang lebih suci dan diyakini sumbernya, maka tidak boleh digunakan vaksin yang ada unsur haram. Perkara ini menjadi asas dalam fatwa-fatwa mengenai vaksin.

“Kedua, jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan bersifat darurat bagi menyelamatkan nyawa maka vaksin yang ada unsur haram dibenarkan kerana menjaga nyawa atau ‘hifz al-nafs’ adalah di antara objektif syariah. Ini bermakna sesuatu vaksin tidak semudah itu untuk diharuskan tanpa justifikasi yang kuat,” katanya.

Beliau kemudian membawa satu contoh kes yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berhubung hukum menggunakan Vaksin Meningococcal Meningitis Mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus, manakala Vaksin Meningococcal Miningitis Menomune yang mengandungi unsur bovine (lembu), porsin (babi) dan avian (itik) adalah haram.

Namun beliau menjelaskan telah terdapat kajian semula terhadap Vaksin Meningitis Menomune dengan menjelaskan formulasi dan proses terbaru dalam penghasilan vaksin itu yang bebas daripada sumber haiwan, dengan akhirnya Muzakarah MKI memutuskan penggunaannya adalah diharuskan dengan fatwa terdahulu vaksin itu dibatalkan.

“Kita ambil contoh terkini, Malaysia bakal mengimport vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer. Difahamkan vaksin ini diperbuat daripada mRNA (vaksin yang tidak menggunakan virus hidup dari Covid-19) dan tidak terlibat dengan unsur haram. Keadaan ini melegakan semua pihak. Maka tidak timbul dakwaan vaksin Covid-19 diperbuat daripada unsur haram.

“Lagipun dalam pembuatan vaksin juga telah berlaku penyaringan, penyucian dan pemurnian berulang kali sehingga bahan asal itu tidak dapat dikesan pada peringkat akhir vaksin. Dengan kata lain, unsur asal haram tidak lagi menjadi kandungan bagi vaksin.

“Oleh itu, kita sebagai rakyat negara ini tidak perlu bimbang dengan pelbagai dakwaan tentang terdapat unsur haram dalam vaksin kerana MKI telah mengeluarkan pelbagai fatwa mengenai perkara ini daripada aspek hukum dengan jelas sekali,” katanya.

Tidak timbul isu halal, haram vaksin

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Murshidi Mohd Noor berkata, sebenarnya majoriti ulama kontemporari berpandangan bahawa istihalah dari khinzir masih dibolehkan dengan syarat proses istihalah itu berlaku dengan sempurna dan telah merubah zat asalnya kepada zat yang lain.

“Namun, sekiranya proses istihalah itu diragui akan keberhasilannya seperti proses perubahan zat asal tidak berlaku dengan lengkap, maka ia tidak dibolehkan. Perkara ini bergantung kepada proses istihalah yang berlaku sama ada lengkap atau tidak menerusi ujian makmal. Istihalah itu sendiri bermaksud satu proses perubahan dari satu zat kepada zat yang lain dan perubahan yang berlaku itu mengubah sama sekali sifat asal sesuatu zat.

“Mereka juga berpandangan, keharusan ini sebenarnya bagi memudahkan orang ramai pada masa kini yang menggunakan banyak bahan mengandungi gelatin untuk pemakanan atau perubatan,” katanya.

“Lagipun, untuk isu yang terbaru berkaitan vaksin Covid-19, berdasarkan maklumat sedia ada, semua vaksin Covid-19 tidak mengandungi kandungan berunsur porcine (babi) atau bovine (lembu), maka di sini sebenarnya tidaklah timbul vaksin ini tidak boleh digunakan umat Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Murshidi turut menyokong penuh keputusan yang telah dikeluarkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI yang bersidang pada 3 Disember 2020 yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Persetujuan terhadap keputusan ini dengan mengambil kira langkah-langkah yang telah pun diambil dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan sebelum sesuatu ketetapan dikeluarkan.

Dalam kenyataan pada 23 Disember 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Harapan untuk Malaysia

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) baru-baru ini memaklumkan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada akhir Februari ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac.

Program vaksinasi Covid-19 akan berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan dan hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun hadapan.

Dengan pandemik Covid-19 baru sahaja menyambut ‘ulang tahun’ pertamanya sejak ia melanda dunia akhir 2019, kita dapati hampir semua orang sudah terbiasa dengan kehidupan normal baharu ditemani pelbagai SOP seperti memakai pelitup muka dan sering mencuci tangan dengan sabun dan sanitiser memandangkan kita masih belum menang perang.

Diharapkan dengan kedatangan bekalan vaksin sekitar suku pertama 2021, ia turut membawa sinar baharu di hujung terowong buat negara Malaysia dalam membendung habis-habisan pandemik ini kerana kes positif harian diumumkan KKM masih lagi mencecah sekitar 2,000 kes dan pastinya terdapat kematian hampir setiap hari. — Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu