Nation
75
0

Vaksin lalui proses penilaian sewajarnya

Kuala Lumpur – Vaksin keluaran Pfizer-BioNtech ialah vaksin COVID-19 yang pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), selepas melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat selepas digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata vaksin berkenaan diberi kelulusan pada 8 Januari lalu dengan nama Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

“Antara kriteria yang diteliti oleh PBKD dan NPRA ialah profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin, dan vaksin yang mempunyai nilai efikasi yang baik untuk digunakan untuk semua rakyat Malaysia.

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia dengan memantau dan meneliti semua ubat-ubatan, termasuk vaksin yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran bersyarat itu diberikan bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin COVID-19 semasa tempoh pandemik ini menggunakan pendekatan berasaskan risiko) tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Dr Noor Hisham berkata, kriteria lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat itu antaranya ialah vaksin telah berdaftar atau diberi keizinan penggunaan semasa kecemasan oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pesawat Airbus 330-300 yang membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 mendarat pada jam 10.07 pagi hari ini dan dihantar ke 16 pusat simpanan vaksin seluruh negara, iaitu enam di Selangor, Johor (empat), Kuala Lumpur (tiga), Pulau Pinang (dua) dan satu di Putrajaya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19, Rabu ini sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu