Social
191
0

Wanita ditumbuk, dipukul suami

Kuala Lumpur – Gara-gara dituduh curang, seorang wanita ditumbuk dan dipukul menggunakan besi oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Lembah Pantai, Tanjong Karang di sini baru-baru ini.

Perbuatan suspek berusia 53 tahun yang merupakan pekebun itu menyebabkan mangsa berusia 48 tahun lebam di leher dan belakang badan serta luka di kepala selain patah jari kiri dalam kejadian pukul 8.40 malam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan suri rumah sedang menonton televisyen bersama anak bongsunya berusia 12 tahun di rumah mereka.

Katanya, suspek yang keluar dari bilik tidurnya secara tiba-tiba mengambil telefon bimbit model Oppo milik anak bongsunya itu sebelum membaling ke dinding hingga pecah.

“Suspek kemudiannya meminta isterinya menyerahkan telefon bimbit namun tidak diberikan oleh wanita berkenaan.

“Lelaki itu kemudiannya terus menumbuk leher kanan dan belakang badan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, suspek yang dipercayai masih berang lantas ke dapur rumah mereka mengambil besi dan memukul bahagian atas kiri kepala isterinya sebanyak dua kali.

Tambah Ramli, lelaki itu didapati sekali lagi menuju ke dapur bagi mengambil parang namun mangsa berjaya keluar dari rumah itu untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa yang lebam di bahagian leher dan belakang badan serta luka di bahagian atas kepala selain patah jari kiri telah mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang,” ujarnya.

Ramli menegaskan, bertindak hasil maklumat yang diterima kemudiannya membawa kepada penahanan suspek pukul 4.30 petang kelmarin di rumahnya.

“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa telah berkahwin lebih kurang 29 tahun.

“Hasil siasatan awal turut mendapati suspek mengaku melakukan jenayah tersebut disebabkan cemburu dan menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain,” jelasnya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 / 326A Kanun Keseksaan. – Kosmo

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu