Social
282
0

Wanita pandu kereta lawan arus, rempuh 3 kenderaan

Bukit Mertajam –  Tindakan wanita memandu kereta secara melawan arus mengakibatkan kenderaan itu merempuh dua kereta dan sebuah motosikal di susur ke Jalan Perusahaan Perai, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, semua mangsa iaitu tiga pemandu kereta termasuk wanita itu,

dan seorang penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat cedera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.30 petang.

“Ketika tiba di lokasi, semua mangsa dilaporkan berada di hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Melalui siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ekoran daripada tindakan seorang wanita berusia 31 tahun yang memandu secara melawan arus.

“Akibatnya, dia melanggar dua kereta yang dipandu lelaki berusia 26 dan 29 tahun serta seorang penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kemalangan itu di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jumaat lalu, media melaporkan kejadian seorang lelaki yang dirakam menunggang motosikal disyaki curi secara melawan arus di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

Dua minggu sebelum itu, terdapat kejadian sebuah kereta melawan arus kerana cuba mengelak melalui sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Kilometer 2.5 Lebuhraya Lingkaran Luar (LLB) dekat Perai.

Ini menjadikan tiga insiden kenderaan melawan arus dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh tidak sampai satu bulan. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu