Nation
95
0

Zahidi pula positif COVID-19

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjadi anggota Kabinet yang keempat disahkan positif COVID-19, hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia, berkata Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar disahkan positif selepas menerima keputusan ujian saringan, pagi tadi.

Kenyataan itu menjelaskan, Zahidi menjalani ujian saringan COVID-19 sebaik tiba di ibu negara dari Pulau Pinang, pada Isnin lalu.

“Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebelum ini, beliau menjalani ujian saringan COVID-19 pada 25 Disember 2020 dan keputusan ketika itu ialah negatif.

“Datuk Zahidi kini berada dalam keadaan stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa semoga Allah SWT mempermudah urusan semua yang terbabit,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Tiga menteri disahkan positif COVID-19 minggu ini iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed

Jangkitan dalam kalangan menteri ketika ini dipercayai berlaku selepas Mustapa yang menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lalu, disahkan positif COVID-19 pada Ahad lalu.

Susulan itu, semua menteri Kabinet diarah menjalani ujian saringan COVID-19.

Tahun lalu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal dijangkiti COVID-19 pada 1 Oktober selepas berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula disahkan positif pada 5 Oktober, juga selepas pulang dari negeri itu. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu