Kuala Lumpur Post

Social

1 mangsa termakan keropok racun tikus meninggal dunia

GEORGETOWN — Seorang daripada dua beradik yang termakan keropok disyaki mengandungi racun tikus, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi.

Ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, berkata anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) pada 8.40 pagi.

“Betul, anak saya sudah meninggal dunia.

“Sekarang saya tengah tunggu proses bedah siasat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun dalam kejadian di Kulim, Kedah, Ahad lalu.

Ketua Polis Kulim Mohd Azizul Mohd Khairi berkata kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi selepas melihat dua beradik berusia dua dan tiga tahun itu muntah.

Wanita kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim (HK) sebelum dirujuk HPP untuk rawatan lanjut.