Social
377

10 ahli Geng 21 diberkas

Johor Bahru – Polis Johor berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 21 Kluang selepas 10 ahli kumpulan itu diberkas dalam lapan siri serbuan di sekitar negeri ini, pada 16 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam serbuan bermula jam 2.30 pagi itu, semua 10 lelaki ahli kumpulan itu yang berusia 29 hingga 44 tahun, ditahan di sekitar kawasan Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru.

“Hasil semakan rekod jenayah ke atas semua suspek mendapati mereka memiliki rekod lampau berkaitan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah, selain jenayah kekerasan.

“Polis merampas dua helai baju yang ada lambang Geng 21, 17 telefon bimbit dan dua bilah pisau lipat,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, penangkapan ahli kumpulan kongsi gelap terbabit berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan membabitkan kes samun berkumpulan yang mendatangkan kecederaan parah.

“Kongsi gelap Geng 21 ini aktif melakukan jenayah pemerasan di tapak projek pembinaan, ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di daerah Kluang dari tahun 2019 hingga 2020.

“Lapan daripada suspek diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) untuk siasatan lanjut.

“Seorang lagi suspek dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mengaku di mahkamah serta didenda RM1,500, manakala seorang lagi suspek dibebaskan,” katanya. – Berita Harian

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu