Nation
264

10% penduduk terima dua dos lengkap vaksin : Khairy

Kuala Lumpur – Sebanyak 3,190,789 orang atau 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 setakat hari Khamis, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini menandakan bahawa Malaysia telah memenuhi nilai ambang pertama untuk peralihan daripada Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi penduduk dewasa, 30 peratus telah menerima dos pertama manakala 13.6 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

“Awal bulan ini, kami mengumumkan untuk memberi anggaran 300,000 suntikan pada Julai, bagaimanapun pada tiga hari lepas sebanyak 1 juta dos berjaya diberikan,” katanya dalam forum ‘Vaccine Advocacy Forum’ pada Konvensyen Farmasi Nasional 2021 secara penstriman langsung menerusi YouTube.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata jumlah dos yang lebih kecil diberikan beberapa bulan lepas adalah disebabkan oleh bekalan vaksin dan ketaksamaan global dalam pengedaran vaksin.

Khairy berkata setakat 4 Julai lepas, Malaysia telah menerima 12.6 juta bekalan vaksin iaitu AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac daripada 67 juta vaksin yang diperoleh.

“Kami masing menunggu 54 juta lagi bekalan vaksin, ini untuk menunjukkan kepada ahli farmasi bahawa ini jelas isu bekalan, bukan kapasiti dan setelah menerima bekalan, kami beroperasi dengan nisbah penggunaan 90 peratus sekarang,” katanya.

Merujuk kepada data dilaporkan di negara termasuk Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura, Khairy berkata jumlah kes baharu dan kematian akan menurun apabila mencapai 30 ke 40 orang yang menerima vaksin lengkap bagi setiap 100 orang (30 hingga 40 peratus penduduk divaksin sepenuhnya).

Beliau berkata pada penghujung Ogos, Malaysia akan mencapai 30 ke 40 peratus penduduk sudah lengkap menerima vaksin bagi menyaksikan penurunan kadar kematian berdasarkan data dunia.

Khairy juga menjelaskan kaedah pemerhatian data COVID-19 sebaik mencapai nilai ambang tertentu dalam vaksinasi, kerana ia adalah mitigasi untuk memastikan penduduk tidak meninggal dunia atau dirawat di hospital akibat COVID-19 berbanding penekanan kerana bilangan kes mungkin tinggi.

Memetik situasi di UK, beliau berkata kerajaan negara itu mula memantau kadar kemasukan ke hospital dan kematian walaupun merekodkan lebih 300,000 kes sehari pada masa ini berikutan varian Delta dan pembukaan negara itu.

“Kemungkinan besar kita akan mengikut trajektori itu kerana kita akan membuka kembali ekonomi, kes jangkitan mungkin masih ada tetapi apa yang kita ingin lihat ialah kadar kematian dan rawatan di hospital dikurangkan. Apa yang kita perlu ialah kemudahan kesihatan awam dan swasta tidak terlalu dibebani dengan kes COVID-19,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu