Social
107

10 remaja ditahan disyaki terlibat pergaduhan

Ipoh – Polis menahan 10 individu termasuk empat pelajar sekolah menengah dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Pekan Kampung Gajah, dekat Parit, seperti yang tular dalam laman media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan pergaduhan berkenaan kira-kira pukul 10.52 malam tadi di Balai Polis Kampung Gajah.

Barudin berkata bedasarkan laporan terbabit, pihaknya menahan 10 remaja termasuk seorang perempuan berumur 13 hingga 18 tahun di sekitar Kampung Gajah, pukul 11.30 malam tadi.

“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 1 tengah hari 20 April lepas melibatkan seramai tujuh remaja memukul rakan mereka berumur 14 tahun sambil seorang lagi remaja lelaki merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit.

“Empat daripada mereka masih bersekolah di Kampung Gajah dan di daerah Kinta. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Barudin berkata kesemua remaja berkenaan masih ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Video pergaduhan berdurasi tujuh minit 39 saat itu tular dalam laman media sosial sejak beberapa hari lepas menunjukkan sekumpulan remaja memukul seorang remaja lelaki. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu