Nation
159

104,000 pekhidmat rumah tangga bakal terima manfaat perluasan perlindungan keselamatan sosial : Menteri Sumber Manusia

Kuala Lumpur – Seramai 104,000 pekhidmat rumah tangga dijangka menerima manfaat daripada peluasan perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), yang dijangka dilaksanakan pada 1 Jun depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata kumpulan pekhidmat rumah tangga yang merangkumi pembantu rumah, pemandu peribadi, pengasuh dan pekebun yang akan menerima manfaat itu terdiri daripada 15,000 warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 warga asing.

Katanya pekhidmat rumah tangga warganegara dan pemastautin tetap yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4, serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800.

“Manakala bagi pekhidmat rumah tangga warga asing, mereka akan dilindungi oleh Skim Bencana Kerja di bawah Akta 4. Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di bawah Akta 4 dan Akta 800,” katanya dalam sidang media semasa Majlis Iftar Perkeso di sini hari ini.

Menurutnya peluasan itu membolehkan pekhidmat rumah tangga yang selama ini terkecuali daripada Akta 4 dan Akta 800 mendapat perlindungan keselamatan sosial, sama seperti golongan pekerja yang lain.

Beliau berkata Perkeso akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi menjelaskan langkah itu sebelum ia dilaksanakan.

Sementara itu, Saravanan berkata jumlah pembayaran faedah Perkeso turut menunjukkan trend meningkat setiap tahun seiring dengan perluasan jaringan keselamatan sosial dan penambahbaikan faedah.

Tahun lepas, Perkeso telah membayar faedah berjumlah RM4.25 bilion berbanding RM4.2 bilion pada 2019 dan RM3.8 bilion pada 2018.

Katanya ini merupakan peningkatan daripada RM3.6 bilion pada 2017 dan RM3.3 bilion pada 2016.

Pada majlis sama, Saravanan menyampaikan bayaran faedah Perkeso berjumlah kira-kira RM600,000 kepada 13 penerima faedah manakala bagi meraikan waris Orang Berinsurans Perkeso, 19 balu dan 19 anak yatim dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima sumbangan duit raya dan hamper. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu