Nation
239

11 kawasan berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengenal pasti 11 kawasan yang berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar, pada 4 hingga 7 November nanti.

Kawasan terbabit adalah Kg Tok Muda, Kg Sg Pinang di Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai di Pelabuhan Klang, Kg Sg Serdang, Ban Sementa, Ban Sg Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.

Pemangku Pengerusi JPBD Klang, Mohd Shahrizan Mohd Salleh berkata, pasukan tinjauan daripada pelbagai agensi akan diaktifkan dalam tempoh berkenaan.

“JPBD Klang mengambil beberapa langkah persediaan, antaranya pemberian taklimat persediaan menghadapi banjir dan tatacara pengoperasian 71 pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan mangsa banjir mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, kita juga mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Daerah,” katanya selepas melawat kawasan berisiko tinggi banjir, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula pada esok dan berterusan hingga Mac 2022, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh itu.

Mohd Shahrizan berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), supaya sentiasa menyelenggara dan membersihkan semua sistem saliran di bawah bidang kuasa pentadbiran masing-masing bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat.

Beliau berkata, MBSA sebagai contoh, membuat sewaan pam air dan membina kolam tadahan sementara bagi menghadapi bencana banjir akan datang, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu