Kuala Lumpur Post

Social

11 penjawat awam ditahan positif dadah di pusat hiburan

JOHOR BAHRU — Seramai 11 penjawat awam positif dadah ditahan ketika leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam serbuan Ops Hibur yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor pada jam 1 pagi itu turut menahan 19 lagi individu yang didapati positif dadah.

Hasil daripada serbuan itu, katanya, polis membuat pemeriksaan terhadap 49 individu yang sedang berhibur di dalam premis tersebut.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati seramai 30 individu terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita positif dadah.

“Daripada jumlah itu, ia membabitkan 11 penjawat awam (lelaki) serta seorang remaja lelaki bawah umur yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.

“Pusat hiburan terbabit mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah tetapi sudah beroperasi melebihi masa yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 52 tahun, manakala penjawat awam yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 49 tahun.

Katanya, dalam operasi sama polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis yang juga didapati positif dadah.

“Semua yang ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63, Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.