Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

1,119 individu ditahan, barangan bernilai lebih RM90 juta dirampas

Kuala Lumpur – Seramai 1,119 individu ditahan bersama pelbagai barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM96.3 juta dalam operasi (Ops) Nyah, Ops Benteng, Ops Kontraban dan Ops Khazanah sejak 1 Januari tahun ini sehingga semalam.

Kesemua suspek, 806 lelaki dan 299 wanita serta 14 kanak-kanak berusia antara satu hingga 64 tahun ditahan dalam 176 serbuan di Selangor dan Johor.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Muhammad Abdul Halim berkata kesemua individu yang ditahan merupakan warga tempatan, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan dan Vietnam.

Antara nilai rampasan tertinggi melibatkan rokok seludup sejumlah RM41 juta diikuti arak seludup dan ketum dengan nilai RM38 juta.

“Selain itu, PGA juga merampas kenderaan bernilai RM9.1 juta, logam/tembaga bernilai RM3.1 barang kawalan (beras,diesel dan minyak masak) RM 2.6 juta, bahan letupan sebanyak RM 1.4 juta, wang tunai RM 802,137, dadah RM202,650 serta hidupan dan tumbuhan dilindungi sebanyak RM120,500,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mereka yang ditahan disiasat dibawah Akta Imigresen 1963, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Kesalahan Barang Lusuh 1946.

“Buat masa ini, masih ada lagi penyeludup yang terlepas masuk di dalam negara yang menggunakan jalan darat dan laut, akibat modus operandi mereka yang sering berubah hingga menyukarkan pihak PGA untuk terus mengesan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis mengharapkan orang awam dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sekitar bagi memastikan aktiviti itu dapat dibenteras sepenuhnya, lapor Bernama.

Tags: , ,