Nation
277

115 kuil, tokong di Kuala Lumpur didirikan secara tidak sah

Kuala Lumpur – Sebanyak 115 kuil dan tokong di ibu kota dikenal pasti didirikan di atas tanah kerajaan secara tidak sah, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes berjaya diselesaikan dengan kuil dan tokong yang terlibat diberikan surat tawaran pendudukan secara sah, manakala selebihnya ada yang ditawarkan tapak ganti yang dirizabkan sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

“Daripada baki 107 yang ada, sebanyak 56 telah dikenal pasti sebagai RIBI dan memerlukan tindakan segera, iaitu berpindah kerana kawasan sebelum ini akan dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran tapak ganti yang akan dirizabkan sebagai tapak RIBI di sini hari ini.

Sebagai usaha mengatasi semua permasalahan itu, Santhara berkata kementerian melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), mengambil pendekatan mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RIBI (MJE RIBI) pada Ogos lepas, dengan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

MJE itu, katanya turut disertai oleh wakil setiap persatuan agama bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan isu RIBI, selain mencari penyelesaian terhadap isu pendudukan tidak sah.

Santhara berkata, sepanjang menguruskan permasalahan itu antara cabaran yang diterima termasuk tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pemilik tanah, pengurusan kuil serta tokong, selain fakta yang tidak tepat sekali gus melambatkan isu itu dibawa kepada MJE RIBI.

Pada masa sama, beliau turut berharap semua persatuan agama lebih peka terhadap penubuhan rumah ibadat, terutama di atas tanah kerajaan dan meminta mereka memohon kebenaran merancang terlebih dahulu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita sentiasa menyokong usaha untuk mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu