Kuala Lumpur Post

Nation

121 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar tiba di tanah air

SEPANG — Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar ekoran pergolakan di wilayah berkenaan berjaya dibawa pulang ke tanah air hari ini melalui pelaksanaan misi evakuasi.

Mereka yang berumur antara 20-an dan 50-an serta kebanyakannya adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar, diterbangkan ke Malaysia menerusi penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China yang turut membawa seorang warganegara Indonesia yang terkandas di Laukkaing.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata 121 orang yang kembali hari ini melalui misi itu adalah daripada 128 rakyat Malaysia yang terkini dikesan terkandas di Laukkaing ekoran perang saudara yang tercetus sejak hujung Oktober lepas.

“Tujuh lagi tidak dapat dibawa pulang ketika ini atas beberapa sebab, tetapi kerajaan akan mengikuti perkembangan semasa dan melakukan proses evakuasi (keluar) seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Menurut beliau dua orang telah meminta dikecualikan atau menarik diri untuk pulang sebelum proses dibawa keluar, seorang berada di luar kawasan sejauh 1,000 kilometer dari sempadan China, tiga lagi tidak berada di sempadan pada waktu ditetapkan manakala seorang lagi terkandas akibat ada rekod jenayah di China dan tidak dibenarkan masuk ke China.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah berjaya menyelaras misi tersebut dengan baik melalui sempadan negara Myanmar-China bermula pada pagi 30 Nov dengan kerjasama dan kelulusan dari negara terlibat.

Wisma Putra berkata tindakan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan dua Naib Premier China iaitu Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi beliau ke China pada 16 Nov lepas.

Wisma Putra berkata kesemua warganegara Malaysia yang terkandas itu telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan negara China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Kedutaan Malaysia di Yangon telah menghantar sekurang-kurangnya 10 nota diplomatik kepada kerajaan Myanmar untuk memohon bantuan dan kaedah untuk mengeluarkan warganegara Malaysia dari kawasan konflik.

“Kita juga telah bekerja rapat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming kerana kawasan Kunming merupakan kawasan hampir untuk mereka dibawa keluar melalui sempadan Myanmar.

“Jadi kita telah dapat kerjasama baik dari Myanmar dan China bagaimana untuk melepasi sempadan itu dalam keadaan mereka tidak mempunyai dokumen lengkap tetapi kita dapat kerjasama baik berhubung kelulusan untuk melepasi sempadan,” katanya.

Menurut Mohamad, sebahagian daripada 121 individu berkenaan dijadual memberi keterangan kepada pihak polis dan melalui beberapa proses perundangan manakala sebahagian lagi akan kembali ke pangkuan keluarga.

Data Wisma Putra menunjukkan daripada 121 orang tersebut, mangsa tertinggi adalah dari Sarawak berjumlah 54 orang, diikuti Perak 22; Kuala Lumpur (10) dan Pulau Pinang (lapan).

“Diingatkan agar warganegara kita lebih peka dan berwaspada apabila menerima sebarang tawaran pekerjaan khususnya di media sosial,” kata Mohamad serta menambah Kementerian Luar akan meneruskan beberapa program untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang bahaya menerima tawaran pekerjaan tanpa pemeriksaan lanjut.

Tags: , ,