Nation
229

125 termasuk Exco Pulau Pinang antara saksi pendakwaan kes rasuah Guan Eng

Kuala Lumpur – Seramai 125 orang saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

“Seramai 125 orang saksi berpotensi untuk dipanggil bagi kes pendakwaan termasuk beberapa orang Exco dari Pulau Pinang. Pihak kami juga telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan kes itu kepada pembelaan hari ini.

“Antara dokumen yang diserahkan ialah laporan forensik telefon, laporan bahagian analisis kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan laporan daripada pakar pendakwaan tentang projek yang terlibat,” katanya.

Lim, 60, yang diwakili peguam Sangeet Kaur Deo dikecualikan daripada menghadiri prosiding hari ini.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan kesemua dokumen yang diperlukan pihak pembelaan sebelum perbicaraan kes itu, yang dijangka bermula pada 8 Jun.

“Kami juga telah menyerahkan senarai saksi berpotensi kepada pihak pembelaan dan satu salinan senarai saksi kepada mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 Sept, 20 hingga 24 Sept dan 13 hingga 17 Dis depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, KOMTAR, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu