Social
305

13 ditahan rai hari lahir disyaki ada unsur kongsi gelap

Melaka – Polis Melaka menahan 13 individu termasuk pemilik premis perniagaan perabot yang disyaki terlibat dalam majlis sambutan hari lahir dan terdapat unsur-unsur kongsi gelap di Batu Berendam pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri ACP Mohd Sukri Kaman berkata kesemua mereka berusia 20 hingga 50 tahun itu juga dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang berikutan penganjuran majlis itu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya kesemua mereka ditahan sekitar negeri ini oleh sepasukan polis daripda Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung rakaman video berdurasi 3 minit 45 saat mengenai majlis itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu lingkungan 4.30 petang hingga 11.30 malam yang dianjurkan oleh pemilik permis berkenaan dan dihadiri kenalan rapatnya.

“Polis juga mendapati di penghujung rakaman video itu terdapat dua lelaki menunjukkan beberapa isyarat tangan yang disyaki berunsurkan kongsi gelap ketika acara memotong kek,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sukri berkata polis turut merampas telefon bimbit daripada seorang individu yang dipercayai merakam kejadian tersebut dan kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 50(3) dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan selain tindakan kompaun di bawah Peraturan 196 dan Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.

“Polis Melaka memandang serius terhadap sebarang aktiviti kumpulan kongsi gelap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat, justeru masyarakat dinasihatkan supaya tidak memasukkan elemen kongsi gelap dalam apa-apa aktiviti keagamaan, persatuan dan sebagainya yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu