Nation
648

13 lokaliti di 5 negeri dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Tiga belas lokaliti di Johor, Kelantan, Sabah, Perak dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Jumaat ini hingga 19 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata di Sabah, lima lokaliti dikenakan PKPD iaitu dua di Kunak iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, dua di Kota Kinabalu (Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1) serta satu di Sipitang iaitu Kampung Kuala Mengalong.

“Lima lokaliti di Perak yang terlibat ialah kilang Comfort Rubber Glove di Simpang dan Matang, asrama kilang Comfort Rubber Glove di Hujung Matang, Kampung Menteri Kuala Sepetang di Mukim Matang serta Kampung Belum Baru di Hulu Perak,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Lokaliti lain ialah Gugusan Semarak, PJU 5 di Kota Damansara, Taman Puteri di Kluang, Johor dan Taman Sri Kebakat di Tumpat, Kelantan.

PKPD di Bandar Pulai Jaya, Kinta, Perak sejak 26 Julai lepas pula ditamatkan lebih awal pada Khamis.

Hishammuddin juga berkata setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa, PKPD di empat lokaliti akan ditamatkan esok seperti dijadualkan iaitu Kondominium One Borneo di Kota Kinabalu, Kampung Istimewa dan Taman Merpati di Sandakan, Sabah serta FELDA Jengka 12 di Jerantut, Pahang.

Menyentuh operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam, beliau berkata 41 premis diarah tutup serta-merta ekoran kegagalan mematuhi SOP.

Katanya seramai 248 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan 25 lagi direman manakala dalam Op Benteng, 10 pendatang tanpa izin ditahan serta tiga kenderaan darat dirampas, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu