Social
314
0

13 pendatang ditahan cuba masuk Malaysia

Kuala Lumpur – Cubaan 13 pendatang tanpa izin yang bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang di Johor, untuk menyeludup masuk ke negara ini gagal selepas ditahan dalam Op Benteng hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata kesemua suspek ditahan pada 1.40 pagi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom.

Kesemua pendatang itu dikesan susulan maklumat risikan dan intipan yang dilakukan sebaik maklumat pergerakan mereka dikesan di pesisir pantai Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Pasukan Briged Ketujuh Infantri Malaysia mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (Tim QRF) bersama Tim Drone daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengepung kawasan berkenaan.

“Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan berusia antara 21 hingga 47 tahun, dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM34,619.99 termasuk wang tunai RM2,728.70, mata wang Indonesia IDR8,286,700.00 (RM2,392.65) serta beberapa mata wang lain selain 15 unit telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak QRF bagi menjejak kemungkinan saki-baki mereka di sekitar kawasan tangkapan,” menurut kenyataan itu. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu