Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

1,364 keldai akaun ditahan di Selangor

KUALA SELANGOR — Polis Selangor menahan 1,364 individu termasuk 436 wanita disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau scam di negeri tersebut sejak Januari hingga Jun lalu, menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata 60 peratus daripada suspek telah didakwa di mahkamah atas beberapa kesalahan terutamanya membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi aktiviti jenayah.

“Majoriti keldai akaun itu didapati menyedari tindakan mereka adalah menyalahi undang-undang. Kesemua individu itu ditahan kerana dengan pengetahuan membenarkan akaun bank dan kata laluan mereka digunakan untuk jenayah penipuan wang terhadap orang lain.

“Mereka mungkin terpengaruh dengan imbuhan ditawarkan antara RM100 hingga RM600 untuk setiap kali sewaan akaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Polis Selangor di Taman Penggawa, di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan menipu dan bersubahat.

“Sindiket itu rata-ratanya menggunakan taktik mencari keldai akaun di media sosial dan sebahagian besar individu itu tidak mengenali penjenayah yang menjalankan kegiatan haram berkenaan,” katanya.

Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan nombor akaun bank bagi sewaan akaun serta tidak termakan dengan janji serta tawaran manis daripada individu yang tidak dikenali, lapor Bernama.

Tags: , ,