Social
565

14 ditahan terlibat dalam pergaduhan

Petaling Jaya – Seramai 14 lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jinjang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan tersebut pada pukul 11 malam.

“Seramai 14 lelaki berusia 20 hingga 54 tahun yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut telah ditahan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada tindakan sekumpulan lelaki merakam pertengkaran membabitkan pasangan suami isteri di PPR berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ketika kejadian, suami wanita itu telah menyedari pertengkaran mereka telah dirakam kumpulan tersebut dan menegur tindakan mereka itu.

“Namun ia berakhir dengan pergaduhan, pengeluaran kata-kata kesat dan berlaku insiden tolak-menolak.

“Kesemua 14 lelaki tersebut telah ditahan dan permohonan reman ke atas semua suspek telah dibuat hari ini untuk membantu siasatan lanjut,” jelasnya.

Tambahnya, semakan rekod mendapati, 11 daripada ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau manakala baki tiada rekod jenayah.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan beberapa rakaman video berhubung kejadian pergaduhan membabitkan 14 individu di PPR Batu Muda di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. — Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu