Nation
124

14 lagi sekolah di Negeri Sembilan ditutup

Seremban –  Sebanyak 14 lagi sekolah di Negeri Sembilan diarahkan tutup selama dua hari mulai esok susulan kes positif Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, penutupan itu atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi membolehkan pihaknya melakukan mengesan kontak rapat.

Katanya, 13 sekolah membabitkan di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Batu, SK King George V, SK Labu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Forest Heights, SJKC Chung Hua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa.

“Turut ditutup ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Lorong Java, SJKT Nilai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang, SMK ST Paul, SMK King George, SMK Kompleks KLIA, SMK Bukit Mewah dan SJKC Bandar Springhill di Port Dickson.

“Semua sekolah ini ditutup sehingga 4 Mei bagi membolehkan PKD membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD berkaitan.

Dr Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan berkata, penambahan 14 sekolah itu menjadikan sebanyak 49 buah sekolah sudah diarahkan tutup di seluruh negeri ini sejak 22 April lalu.

Jelasnya, sebanyak lima sekolah yang diarahkan tutup sebelum ini juga dilanjutkan penutupannya iaitu SK Kompleks KLIA, SJKC Sino English, SJKT Sungai Salak dan SJKC Pei Hua Seremban yang masing-masing ditutup selama dua hari sehingga Selasa ini.

“Ibu bapa tidak perlu panik berikutan kerja-kerja sanitasi akan dilakukan oleh pihak berkaitan dalam kadar segera,” katanya. – Harian Metro

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu