Nation
75

14 lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Lima lagi lokaliti di Sabah, enam di Kelantan, dua di Pahang dan satu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa Sabtu ini hingga 27 Ogos.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antara lokaliti di Sabah ialah di Keningau iaitu Kilang dan Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn Bhd di Batu 27, Jalan Sook serta Perusahaan dan Kuarters Pekerja Kosinar Sdn Bhd di Batu 28, Jalan Sook.

“Tiga lokaliti yang lain ialah Taman Puri Warisan di Kota Kinabalu, Kampung Pengiran di Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta di Kota Belud,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Beliau berkata lokaliti di Kelantan pula melibatkan Kampung Chenerai, Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjong dan Kampung Pak Jak serta sebahagian Kampung Landar di Pasir Mas dan Kampung Kubang Sawa di Tumpat.

Katanya lokaliti lain yang turut dikenakan PKPD ialah Kampung Bongkok di Bera dan Kampung Gadak, Rompin di Pahang serta Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd di Mukah, Sarawak.

Hishammuddin juga berkata PKPD di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling di Kedah; Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Bentong di Pahang; Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang di Kelantan dan Kampung Gambaron 2, Telupid di Sabah yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan sehingga 27 Ogos.

Beliau berkata PKPD di beberapa lokaliti di Sabah yang ditamatkan mengikut jadual esok melibatkan Perumahan Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang, Kampung Lembah Permai dan Kampung Pugi Gunsapou di Ranau, Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis di Keningau, Kampung Marintaman di Sipitang serta Kampung Tembidong-Bidong, Telupid dan Kampung Airport Lama di Tawau,

Penamatan PKPD itu juga melibatkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak, Kemaman, Terengganu; Kampung Seratau, Bahagian Kuching, Sarawak; Felda Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang dan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

“Selain itu, PKPD di empat lokaliti di Perak Tengah, Perak juga ditamatkan esok iaitu Kampung Biak Hilir, Mukim Bandar serta Kampung Biak Darat; Kampung Biak Barok dan sebahagian Kampung Pasir Salak di Mukim Pasir Salak,” katanya.

Hishammuddin juga berkata susulan pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan semalam, sebanyak 60 premis sektor perkilangan dan premis perniagaan diarahkan tutup serta-merta kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya seramai 219 individu dikompaun dan 37 lagi direman bagi kesalahan yang sama.

Beliau memaklumkan menerusi Op Benteng pula, seramai tujuh pendatang tanpa izin telah ditahan dan sembilan kenderaan darat turut dirampas.

Hishammuddin juga berkata sebanyak 690 individu tiba melalui semua pintu masuk antarabangsa semalam dan setakat ini, sejumlah 10,053 orang yang tiba dari luar negara masih menjalani kuarantin wajib di 83 hotel dan 11 Institut Latihan Awam serta institut pengajian swasta seluruh negara, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu