Social
183

14 termasuk 2 adik Nicky didakwa di mahkamah

Petaling Jaya – Seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan yang diburu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaludin Mat berikutan kes tersebut dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Wong, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Eee Eng Chee,  Dr. Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China iaitu Huang Lei, Gu Xing Qiong, Wang Yu Jun dan Jiang Xue.

Wei Kin dan Wei Loon merupakan adik kepada Datuk Seri Nicky.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara hanya tertuduh Andrew didakwa atas pertuduhan membantu kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan – timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Mohamed Mustafa P.Kunyalam, Rohaiza Abd. Rahman, Mohd. Izharudin Alias dan Mohd. Farhan Alif  Ahmad.

Sementara tertuduh-tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh, Datuk Suraj Singh, M. Mariappan, Poh Wee, Salim Bashir, Datuk Krishnan Nair, Mohd Salahuddin Salleh, Hafiz Zubir dan Datuk Jansen Chua.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

KOSMO! Online 1 April lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun percaya, suspek yang berusia 33 tahun itu masih bersembunyi di kawasan Lembah Klang.

Sebelum itu, pada 21 Mac lalu, KOSMO! Online juga turut melaporkan polis memburu Datuk Seri Nicky bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dan pengubahan wang haram terbesar di negara ini.

Jelasnya, alamat terakhir suspek ialah di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dan merupakan pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Polis Johor telah mengadakan operasi melakukan serbuan di Puchong dan menahan 12 individu termasuk seorang yang berpangkat Datuk Seri.

Sindiket ini besar dan banyak melibatkan penipuan dan scam. Suspek adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguatkuasa.

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya ahli perniagaan itu masih berada di Puchong dan akan menjalankan usaha bagi mengesannya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu