Social
289

146 polis disaman

Petaling Jaya – Sebanyak 146 saman di atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu operasi khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi tadi.

Pengarah Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi khas bermula pukul 7 pagi itu diadakan secara mengejut di pintu masuk Bukit Aman.

“Objektif utama operasi pemeriksaan mengejut ini diadakan adalah untuk memeriksa kenderaan digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya terutamanya mereka yang melakukan pengubahsuaian kenderaan dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

“Dalam operasi ini sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 146 saman di atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan ubah suai ekzos telah dikeluarkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, operasi mengejut itu melibatkan seramai 15 pegawai dan 35 anggota JSPT Bukit Aman, lima pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) BUkit AMan serta seorang pegawai dan empat anggota daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“PDRM khususnya JSPT ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh dan pegawai, anggota serta pegawai awam di bawah PDRM juga tidak terkecuali.

“PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya sentiasa mematuhi undang-undang juga peraturan jalan raya agar dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya,”ujar beliau. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu