Kuala Lumpur Post

Social

15 ditahan kes bunuh lelaki di kelab malam

JOHOR BAHRU — Seramai 15 lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan satu kes bunuh membabitkan seorang lelaki di sebuah kelab malam dekat Jalan Abdullah Tahir di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata semua lelaki berusia di antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini di antara Ahad dan Isnin.

Katanya, seorang daripada suspek yang berusia 30-an ditahan sebaik tiba dari Bangkok, Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini.

“Kita menerima maklumat pada jam 4.54 petang Ahad lalu, berhubung satu kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 12 Februari ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Muhammad Afdhal Mat Saupi di talian 013- 7711152.