Nation
354

15 lokaliti seluruh negara dikenakan PKPD bermula 7 Jun

Kuala Lumpur – Sebanyak 15 lokaliti melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa dari 7 Jun hingga 20 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata enam lokaliti yang dikenakan arahan PKPD di Sarawak adalah Rumah Panjang anak Umba; Rumah Panjang Tulu anak Sli; Rumah Panjang Duah anak Entingi; Rumah Panjang Balin anak Gema; Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh di Batang Oya, Dalat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam tempoh satu minggu apabila 27 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 40 orang penghuni rumah panjang di lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata tiga daripada lima lokaliti di Sabah yang turut dikenakan PKDP adalah Kampung Blok 31; Kampung Sentosa Blok 5, Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu semuanya di dalam Daerah Tawau selepas saringan oleh KKM mengesan sebanyak 49 kes positif COVID-19 di keseluruhan kawasan terlibat.

Katanya dua lagi lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD adalah di Felda Umas 4, Kalabakan serta Apartment Taman Permata, Sandakan yang masing-masing merekodkan 10 dan 12 kes positif COVID-19.

Ismail Sabri berkata di Perak, tiga lokaliti dikenakan PKPD iaitu asrama pekerja kilang Eco Medi Glove melibatkan Blok A, B, C dan D di Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping, yang dikesan mempunyai 75 kes positif COVID-19 serta Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah dalam Mukim Hulu Kinta (15 kes).

Selain itu, katanya Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang turut dikenakan PKPD setelah 22 kes positif COVID-19 direkodkan hasil 112 ujian saringan.

“Pelaksanaan PKPD di semua kawasan ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Silimpopon Mill, Silimpopon Estate di Kalabakan dan Kampung Melikai, Kuala Penyu, Sabah serta taman perumahan dan perkampungan sekitar Gau, Temerloh akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKP, Ismail Sabri berkata 952 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, semalam.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 870 individu dikompaun, 81 direman manakala seorang lagi dijamin. — Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu