Nation
459

16 pengarah syarikat ditahan SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 orang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan geran peruntukan yang bernilai jutaan ringgit, dikeluarkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan individu yang dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu.

Kesemua yang ditahan berusia antara 24 hingga 68 tahun dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam hingga lewat malam tadi.

Satu sumber mendedahkan, SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kira-kira 60 peratus daripada peruntukan geran yang diberikan melalui MITRA tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

Ketika ini dianggarkan MITRA memperoleh bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Kata sumber, puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini, yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya,” kata sumber.

Sumber berkata lagi, peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu.

“Setakat siasatan SPRM, tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, kesemua 16 yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi proses reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu