Nation
457

16 pesawat tentera udara China dikesan masuki ruang udara Malaysia

Kuala Lumpur – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional, semalam.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat itu telah dikesan terbang secara formasi ‘taktikal in-trail’ pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang itu juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ackbal, pesawat itu telah dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Ackbal berkata pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu FIR.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual,” katanya.

Menurut beliau hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20, yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

Beliau berkata insiden itu merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di laluan penerbangan di dalam Kota Kinabalu FIR.

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional,” katanya.

Menurut Ackbal, Kementerian Luar telah mengambil maklum perkara berkenaan melalui Kementerian Pertahanan. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu